Orang tetap akan kecam saya jika saya mati, kata Tun M

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak peduli dengan warisan yang akan ditinggalkannya, menyatakan beliau tetap akan dikritik apabila sudah tiada.

Bercakap kepada Radio BFM ketika program Breakfast Grille, Mahathir mengakui rasuah berlaku semasa tempoh pentadbirannya yang pertama sebagai perdana menteri, tetapi beliau menegaskan ia tidak berleluasa.

“Ya, rasuah berlaku, tetapi tidaklah sampai perdana menteri (sendiri) yang korup,” katanya.

Jawab beliau apabila ditanya sama ada beliau mencuri wang: “Saya tidak mencuri satu sen pun. Bahkan saya memulangkan wang. Ketika saya menjadi perdana menteri, saya bertegas memotong gaji Kabinet sebanyak 10%.

“Saya tidak peduli dengan warisan saya. Saya cukup yakin apabila saya mati, orang (tetap) akan mengecam saya. Ia tidak penting, saya dah mati pun (ketika itu).”

Mengenai sokongannya terhadap usaha Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri, Mahathir berkata, beliau tiada tentangan terhadap presiden PKR itu tetapi menegaskan Anwar perlu mendapatkan sokongan majoriti di Parlimen untuk menerajui jawatan utama tersebut.

“Buat masa ini, hanya Parlimen yang dapat membuat keputusan. Sekalipun Agong melantik perdana menteri, (keputusan itu) akan melalui Parlimen dan jika Parlimen menolaknya, dia tidak akan menjadi perdana menteri.

“(Ini) kerana seseorang tidak boleh membentuk kerajaan tanpa majoriti. Setiap kali anda ingin meluluskan undang-undang, ia akan ditolak oleh majoriti. Kerajaan minoriti tidak mungkin wujud,” kata beliau.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kemungkinan besar baik Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) tidak boleh memperoleh majoriti pada pilihan raya akan datang. Di sinilah, “puak” Ahli Parlimen beliau akan muncul.

“Parti utama harus bekerjasama dengan kami untuk membentuk kerajaan, dan saya tidak akan bekerjasama dengan mereka yang didakwa di mahkamah atas tuduhan jenayah, sama ada mereka didapati bersalah atau tidak,” kata beliau.

Beliau turut “menyerang’ Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dengan mengatakan Muhyiddin tidak melakukan banyak perkara dalam mentadbir negara kerana ekonomi dan rakyat sedang menderita.

Menggambarkan Muhyiddin sebagai “diktator”, Mahathir berkata, darurat memberi perdana menteri kuasa besar ketika beliau gagal menunjukkan kemampuannya menangani masalah negara.

sumber: FMT