Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional akan bergabung lawan UMNO?

Pakatan Harapan (PH) dicadang bekerjasama dengan BERSATU dan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi berdepan Barisan Nasional (BN).

memetik dari Berita Harian, Bekas Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional, Datuk Mazlan Aliman, berkata jika kerjasama itu mampu direalisasikan, PH berupaya membentuk pakatan terbesar sekali gus memberi cabaran buat BN.

“Saya mencadangkan supaya kerjasama blok pembangkang diperluaskan kepada Perikatan Nasional (PN) khususnya BERSATU dan PAS.

“BERSATU dan PAS sendiri meskipun dalam kerajaan negeri Johor, tidak diajak berunding untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), seolah-olah keberadaan mereka tidak dirai dan dihargai UMNO.

“Bayangkan, bukan sahaja PH boleh bekerjasama dengan Warisan, Pejuang, Muda, tetapi juga dengan BERSATU dan PAS bagi membentuk pakatan terbesar. Ia gambaran sebenar Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua parti pembangkang, termasuk Pejuang, Warisan dan Muda bekerjasama bagi menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan.

Ia susulan pada Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN, diadakan.

Mengulas mengenai hasrat kerjasama yang mahu dilaksanakan PH dengan parti pembangkang lain, pihaknya percaya ia mahu dilakukan selepas mereka mengalami kekalahan teruk pada PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini.

Malah katanya, PH yang dianggotai PKR, AMANAH, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ibarat ‘serah tengkuk’ kepada BN jika berada pada status quo seperti di Melaka dan Sarawak.

Atas sebab itu, Mazlan berkata, PH dan parti pembangkang mesti berjiwa besar dan melupakan persengketaan demi kepentingan rakyat yang terasa dikhianati dengan mandat diberikan melalui insiden ‘Langkah Sheraton’, dua tahun lalu.

Beliau berkata, kerjasama itu penting untuk melangkah ke hadapan demi membawa harapan rakyat yang meluat dengan permainan politik yang tidak berkesudahan.

“Apatah lagi situasi COVID-19 yang belum berakhir, pelbagai musibah seperti banjir yang menjejaskan hidup rakyat, maka pertimbangkan cadangan dan saranan ini,” katanya.