Panas!!! Muhyiddin bertembung dengan BN 3 kerusi di Sabah

Perikatan Nasional (PN) petang ini akhirnya mengumumkan calon mereka bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah, beberapa jam selepas membatalkan majlis pengumuman calon bersama BN pagi ini.

Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor mengumumkan PN akan bertanding di 29 kerusi, sekali gus akan menyaksikan pertembungan dengan BN di sekurang-kurangnya tiga kerusi Dun.

Kerusi berkenaan ialah Paginatan (Umno lawan Bersatu), Tulid (Star lawan PBRS) dan Sook (Star lawan PBRS).

Kemungkinan ada lebih banyak pertindihan kerana tidak semua parti komponen yang merupakan sebahagian daripada kerajaan PN telah mengumumkan calon mereka.

Ia termasuk MCA yang bertanding di bawah BN, PBS yang bertanding secara sendirian dan PAS, yang mempertimbangkan untuk bertanding menggunakan logo BN atau PN tetapi tidak kelihatan pada majlis pengumuman hari ini.

Umno telah mengumumkan akan bertanding di 31 kerusi Dun pada majlis pengumuman pagi tadi, yang menyaksikan Bersatu menarik diri dalam majlis itu pada saat-saat akhir.

PBRS telah mengumumkan parti itu akan bertanding di lima kerusi.

Parti-parti yang mengesahkan bertanding di bawah logo BN dan bukannya PN adalah Umno, PBRS dan MCA.

Secara keseluruhan, BN akan bertanding di sekurang-kurangnya 36 kerusi, berbanding PN yang akan bertanding di 28 kerusi. Jumlah ini mungkin meningkat apabila MCA mengumumkan calon mereka hari ini.

Hajiji enggan mengulas mengenai pertembungan tersebut dan mengatakan dia belum mendapat senarai calon dari parti bukan PN walaupun ia telah disiarkan media.

“Saya tidak dapat memberi komen kerana saya belum mempunyai senarai calon dari parti lain,”katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu Sabah di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun Hajiji bersetuju bahawa sekiranya berlaku pertembungan, salah satu parti harus berundur untuk membolehkan pertandingan satu lawan satu menentang pakatan Warisan- Pakatan Harapan -Upko.

Menariknya, pengumuman PN hari ini hanya menyaksikan penyertaan tiga parti iaitu Bersatu, Star dan SAPP.

SAPP bukan sebahagian daripada kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh PN tetapi dipilih oleh PN di Sabah, yang mungkin menyebabkan pertembungan dengan MCA-BN kerana kedua-dua parti memberi tumpuan di kawasan majoriti Cina.

Satu lagi perkembangan penting ialah ketiadaan PAS pada majlis pengumuman PN hari ini. Pemimpin parti itu juga tidak hadir pada majlis pengumuman calon Umno BN.

Secara keseluruhan, hanya dua parti dalam kerajaan persekutuan akan bertanding di bawah logo PN, iaitu Bersatu dan Star.

Umno, MCA, PBRS, PAS dan PBS juga merupakan sebahagian daripada kerajaan pusat tetapi tidak akan menggunakan logo PN di Sabah.