Parlimen dibubarkan, ini 7 perkara yang anda perlu tahu

Walaupun ramai yang tidak bersetuju untuk Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada msuim banjir itu tidak menjadi masalah buat kerajaan Malaysia apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri pada Perutusan Khas yang disiarkan dari bangunan Perdana Putra, Putrajaya pukul 3 petang Isnin.

Dalam perutusannya, Ismail berkata beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari Ahad bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.

Pastinya anda ingin tahu apa yang terjadi apabila pembubaran parlimen terjadi, ini adalah 7 perkara yang akan berlaku:

1 SEBAIK PARLIMEN DIBUBARKAN

SPR akan mengeluarkan writ dan arahan kepada pegawai pilihan raya bahagian di seluruh negara untuk pilihan raya diadakan di kawasan masing-masing.

Pada masa yang sama, notis pilihan raya akan diletakkan di semua kawasan untuk tatapan orang ramai.

Notis itu mengandungi tarikh untuk penamaan calon dan tarikh pengundian awal serta pengundian biasa.

Tarikh penamaan calon ditetapkan bagi membolehkan calon yang ingin bertanding menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai pilihan raya.

2 HARI PENAMAAN CALON

Serahan borang perlu dilakukan antara jam 9 dan 10 pagi pada hari penamaan calon.

Semua calon perlu membayar deposit RM10,000 untuk kerusi Parlimen, manakala RM5,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

Deposit yang dibayar, tidak akan dipulangkan sekiranya calon gagal mendapat 1/8 daripada jumlah undian di kawasan bertanding.

Pegawai pilihan raya perlu memastikan borang pencalonan diisi dengan lengkap bagi membolehkan calon bertanding.

Pencalonan boleh dibatalkan sekiranya calon didapati muflis, memiliki akal tidak sempurna atau bukan warga negara Malaysia.

Sekiranya ada bantahan terhadap calon yang bakal bertanding atas sebab gagal memenuhi kriteria pencalonan, ia perlu diutarakan ketika proses penamaan, sekiranya gagal, bantahan tidak akan diterima.

SPR juga melarang calon daripada menarik balik pencalonan mereka sebaik saja ia diterima.

Sebelum ini, calon dibenarkan untuk menarik balik pencalonan dalam tempoh tiga hari selepas penamaan calon.

Pegawai pilihan raya akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding selepas jam 10 pagi.

3 KEMPEN PILIHAN RAYA

Kempen pilihan raya bermula sebaik saja proses penamaan calon selesai dan akan berakhir jam 12 tengah malam sebelum hari pengundian.

Calon yang bertanding kerusi Parlimen boleh mengeluarkan perbelanjaan maksimum RM200,000 untuk berkempen, manakala calon DUN dibenarkan berbelanja maksimum RM100,000

SPR akan menubuhkan pasukan petugas bagi memantau tingkah laku calon ketika berkempen dan memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

Pasukan petugas juga dibenarkan untuk menurunkan bahan kempen yang menyalahi undang-undang dan menghentikan forum tidak sah dengan bantuan polis.

4 PENGUNDIAN AWAL

Pengundian awal akan diadakan beberapa hari sebelum tarikh sebenar mengundi bagi membolehkan pihak polis serta tentera membuang undi di balai serta kem masing-masing.

Kotak mengundi untuk pengundi awal, akan disimpan di lokasi selamat sehingga hari pengundian sebenar untuk dikira bersama kertas undian yang lain.

5 PENGUNDI POS

Bagi individu yang dibenarkan untuk melakukan undian melalui pos, mereka akan menerima kertas undian lebih awal sebaik dicetak. Pengundi pos perlu memulangkan kertas undian yang sudah ditanda kepada Pejabat Pilihan Raya pada jam 5 petang ketika hari pengundian.

Pengundi luar negara akan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu warga negara Malaysia yang tinggal di luar negara dan sudah berdaftar untuk mengundi secara pos atau mereka yang berada di luar negara tetapi tidak perlu mendapat kelulusan untuk undian pos.

6 HARI PENGUNDIAN

Pada hari pengundian, proses akan dimulakan dengan pengagihan kertas undi oleh pegawai SPR. Pegawai terbabit akan memeriksa kad pengenalan pengundi berdasarkan senarai pengundi berdaftar di pusat dan memeriksa jari telunjuk kiri bagi memastikan tidak kesan dakwat kekal.

Pegawai bertugas kedua sekali lagi akan memeriksa jari telunjuk kiri, sebelum pegawai ketiga membuat tanda pada senarai nama pengundi dan menyerahkan kertas undian.

Satu kertas undian adalah untuk memilih Ahli Parlimen manakala sehelai lagi kertas undian adalah untuk mengundi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pengundi kemudian akan bergerak menuju ke meja mengundi untuk memilih sebelum memasukkan kertas undian ke dalam kotak masing-masing. Kesemua proses itu akan dipantau oleh petugas pilihan raya dan ejen kepada calon bertanding.

Pusat mengundi akan ditutup pada jam 5 petang.

7 PROSES PENGIRAAN UNDI

Sebaik undian ditutup, Pegawai Pengerusi akan membuat kiraan kertas undi. Pegawai terbabit akan memastikan jumlah kertas undian yang diterima di pusat masing-masing di awal pengundian adalah sama dengan kertas undian yang diberikan kepada pengundi serta yang tidak digunakan.

Kertas undian yang tidak jelas serta tidak ditanda dengan betul akan diketepikan. Selepas itu, pengiraan akan mula dilakukan dan pegawai pengerusi akan melihat semula kertas undian yang kurang jelas bagi menentukan sama ada ia boleh diterima atau sebaliknya.

Borang tertera jumlah undian akan dibawa ke pusat pengiraan undi, di mana, pegawai pilihan raya akan mengumumkan keputusan di pusat undian masing-masing.

Kepada rakyat Malaysia, buatlah keputusan yang tepat dan undilah mereka yang betul-betul mampu menjaga kawasan anda dan membangungkan negara, ingat apayang berlaku sebelum ini, pengundian ini akan menentukan masa depan kita untuk 5 tahun lagi.

Baca Juga: Anak kemas katil, baca buku ibu bapa kena bagi hadiah-Bibit-bibit rasuah sebenarnya bermula dari rumah

Baca Juga: Undi musim tengkujuh: BN utamakan kuasa berbanding keselamatan rakyat dan negara