Usia bukan penghalang kepada seseorang untuk terus belajar dalam hidup mereka, malah ada yang masih sanggup pergi ke sekolah pada walaupun sudah tua.
Tetapi baru-baru ini, ajal telah menjemput seorang wanita dipercayai merupakan pelajar sekolah rendah paling tua di dunia.
Keadaan kesihatan wanita berkenaan, Priscilla Sitienei, 99, dilaporkan mula merosot selepas dia menghadiri kelas pada Rabu lalu dan dilaporkan meninggal di rumahnya di Kenya.
Dia dan rakan-rakan sekelasnya yang berusia 12 tahun dikatakan sedang bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan akhir yang dijadual berlangsung minggu depan.
Kisah mengenai Sitienei mendapat pujian daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Wanita berkenaan memberitahu agensi itu tahun lalu bahawa dia mahu memberi motivasi kepada ibu-ibu muda untuk kembali ke sekolah.
“Saya mahu menunjukkan contoh bukan sekadar untuk mereka bahkan gadis-gadis lain di seluruh dunia yang tercicir daripada persekolahan.
“Tanpa pendidikan, tiada bezanya diri anda dan ayam,” katanya.
Turut dikenali sebagai Gogo yang bermaksud nenek dalam bahasa tempatan, Sitienei memberitahu BBC pada 2015 bahawa dia akhirnya sudah pandai membaca dan menulis, sesuatu yang tidak pernah dipelajarinya ketika kecil.
Rekod terkini bagi pelajar sekolah rendah tertua di dunia menurut Guinness Book of Records dipegang seorang lagi warga Kenya, mendiang Kimani Maruge yang bersekolah ketika usia 84 tahun pada 2004, sebelum meninggal dunia lima tahun kemudian.
Baca Juga: Sudah meninggal 6 bulan, wanita sebak baca nota arwah ibu
Baca Juga: Nama dipangkah sebelum mengundi, tiga rakyat Kelantan hilang hak untuk mengundi