Pelawak Disebalik Meme ‘Lelaki Ketawa’ Meninggal Dunia

Seorang pelawak yang terkenal dengan meme “lelaki ketawa” dari Sepanyol dilaporkan meninggal dunia pada usia 65 tahun. Dia yang dikenali sebagai Juan Joya Borja atau El Risitas, menjadi terkenal dengan gaya ketawanya yang tersendiri.

Berdasarkan laporan media tempatan, El Risitas meninggal di hospital pada hari Rabu waktu tempatan. Sejak tahun lalu, dia sering dikejarkan ke hospital kerana kesihatannya yang semakin merosot.

Pada bulan Mac lalu, dia difahamkan sempat mengucapkan terima kasih kepada para peminat kerana menghadiahkan skuter elektrik kepadanya setelah salah satu kakinya terpaksa dipotong.

El Risitas mula dikenali pada tahun 2014, ketika mana dia muncul dan menghasilkan ketawa yang lain daripada yang lain dalam sebuah rancangan televisyen di Sepanyol.

Acara televisyen yang disiarkan lewat malam di Sepanyol tersebut telah mengubah hidup beliau. Pada masa itu, Borja ditemu ramah mengenai pengalamannya ketika bekerja sebagai pembantu rumah.

Borja mendedahkan dia telah meninggalkan sejumlah makanan di tepi pantai pada waktu malam dan apabila dia kembali keesokan harinya, makanannya telah dihanyutkan oleh air laut.

Video itu dimuat naik ke YouTube pada tahun 2007, dan tujuh tahun kemudian, ia masih ditonton berjuta-juta kali di seluruh dunia, menjadikan pelawak itu lebih terkenal.

Sumber:https://www.thevocket.com/pelawak-disebalik-meme-lelaki-ketawa-meninggal-dunia-di-usia-65-tahun/