Penceramah bebas ditahan kes amang seksual terhadap kanak-kanak

Penceramah bebas ditahan kes amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Memetik Astro Awani, penceramah tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Suffian Sulaiman berkata suspek yang berusia 61 tahun itu ditahan di Balai Polis Ajil , Hulu Terengganu pada Isnin ketika hadir memberi keterangan.

Katanya kejadian dipercayai berlaku pada Mac lalu di sebuah rumah bot di Hulu Terengganu.

“Ketika kejadian mangsa mengikuti keluarganya yang menyertai program diadakan suspek di rumah bot berkenaan bersama ayah dan neneknya.

“Berikutan itu mangsa dikatakan menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum satu laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata suspek kini direman selama dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Baca Juga: Tergamak liwat anak sendiri, lelaki berusia 51 tahun ditahan

Baca Juga:Bufet Ramadan dedah sikap tamak, sate dibuang, dua pinggan lauk ketam tak berusik