Pikat 6 juta penonton walaupun Pas sudah dalam kerajaan

Sumber Nielsen Malaysia mendedahkan sebanyak enam juta penonton ketika malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 pada 13 November lalu.

Acara yang mulanya mendapat bantahan pemimpin dan penyokong Pas itu juga merekodkan 43 peratus syer penonton ketika bersiaran, menandingi pelbagai program lain yang ditayangkan pada waktu sama.

Data juga mencatatkan berlaku peningkatan 200,000 penonton dalam majlis anugerah yang bersiaran selama tiga jam itu berbanding ABPBH 32 tahun lalu.

Lagi dua hari ABPBH 33 berlangsung, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasruddin Hassan yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memohon agar dibatalkan dan diganti dengan program yang lebih bermanfaat dan tidak mengundang kemurkaan Allah.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dasuki Abdul Rani pula mengaitkan ABPBH 33 dengan “sibuk mengundang bala tuhan.”

Selain pencapaian rating televisyen (TV), ABPBH 33 yang dibawa Xiaomi, meraih peningkatan jumlah tontonan strim langsung di YouTube TV3 Malaysia dengan menjana 700,000 tontonan, iaitu 104,000 tontonan lebih tinggi berbanding ABPBH 32.

ABPBH 33 yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil menjadi acara hiburan yang pertama menerapkan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) dalam penganjurannya.

Majlis anugerah itu dilangsungkan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi lain.

ABPBH 33 yang mengangkat Haqiem Rusli sebagai Bintang Paling Popular turut meraih jumlah undian tertinggi direkodkan dalam sejarah penganjuran anugerah itu.

Haqiem, 22, diumumkan mengumpul 22,332,676 undian lalu dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.

Penyanyi, komposer dan penulis lirik muda itu juga menerima piala Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan kategori online, Lagu Paling Boom Popular bagi single Lembah Kesepian.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding, Hulu Langat, Selangor itu menerima hadiah utama kereta ‚ÄčNissan LEAF Serba Baharu dengan kuasa elektrik 100 peratus dan sifar emisi, bernilai RM181,263 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dan trofi.