Pintu sempadan Pengkalan Kubor ‘hidup’ semula, ramai memilih pulang ke Thailand selepas pandemik

Pintu sempadan Pengkalan Kubor ‘hidup’ semula, ramai memilih pulang ke Thailand selepas pandemik. Bersempena sambutan Aidiladha, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor dipenuhi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke kampung halaman.

Beratur seawal jam 6 pagi walaupun kaunter buka pukul 8 pagi

Seawal jam 6 pagi, kenderaan beratur dan orang ramai sudah berada di perkarangan kompleks itu untuk urusan dokumentasi perjalanan walaupun kaunter Imigresen dibuka jam 8 pagi lapor Harian Metro.

Keadaan itu berlaku sejak semalam dan difahamkan kira-kira 400 pemegang pas sempadan dan pasport berurusan di kaunter Imigresen, semalam untuk perjalanan sama ada keluar atau masuk ke negara ini.

Dua feri dari Malaysia dan Thailand yang beroperasi untuk mengangkut penumpang sama ada berjalan kaki atau menaiki kenderaan dilihat berulang-alik tanpa henti bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang.

Pulang ke kampung selepas tiga tahun pintu sempadan ditutup

Bagi Zamani Yaakob, 45, dia yang sudah tiga tahun tidak balik ke kampung halaman di Narathiwat, teruja untuk menyambutnya bersama keluarga.

Dia yang sudah hampir 15 tahun menetap di sini dan bekerja di sebuah kilang bahan kimia di Kemaman, Terengganu berkata, kepulangannya juga bukan dengan ‘tangan kosong’ sebaliknya mengambil bahagian dalam ibadah korban.

“Saya mengambil cuti selama seminggu untuk pulang bersama isteri dan tiga anak selepas sudah lama tidak menjenguk ahli keluarga di Narathiwat disebabkan pandemik Covid-19.

“Selepas Subuh tadi saya lima beranak serta kakak sekeluarga sudah sampai di sini (ICQS) kerana tidak ingin menunggu lama beratur dan teruja untuk segera tiba di kampung halaman,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Harga lembu lebih murah punca memilih korban di Thailand

Kata-kata itu diakui Norazila Asikim Muhamad, 31, yang menetap di Kuala Lumpur dan mengambil cuti selama dua minggu untuk menyambut Aidiladha bersama ibu dan bapa tirinya, di Kampung Che Heng, Takbai.

Menurutnya, harga lembu yang jauh lebih murah di Thailand juga membuatkan dia dan ahli keluarga lain turut mengambil satu bahagian masing-masing untuk dijalankan ibadah korban esok.

“Sudah tiga tahun saya tidak balik menjenguk ibu dan bapa tiri kerana suami bekerja dan beberapa kekangan lain termasuk pandemik Covid-19 yang menyebabkan kami hanya berhubung menerusi telefon sahaja.

“Peluang dapat pulang ke kampung halaman kali ini saya manfaatkan sepenuhnya kerana sambutan Aidiladha di Thailand lebih meriah dan bukan senang dapat berkumpul bersama sanak saudara,” katanya.

Baca Juga: Ceramah ‘live’ Ustaz Kazim jadi huru-hara, peserta wanita meracau dan mengamuk

Baca Juga: Pelanggan dakwa kedai letak syarat kena beli barang RM20 baru boleh beli minyak masak