Polis berjaya lupuskan dadah bernilai RM720,680

Polis Negeri Sembilan berjaya melupuskan pelbagai dadah bernilai RM720,680 setelah kes perbicaraan membabitkan 2,531 kertas siasatan di antara Januari hingga Ogos 2022 selesai.

Sembilan jenis dadah termasuk daun ketum dan air ketum masih tersimpan di stor barang kes bahagian narkotik lapor Utusan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, jumlah keseluruhan dadah yang berjaya dilupuskan bernilai RM720,680.

“Dadah yang dilupuskan ialah 11 kilogram heroin bernilai RM147,000, ganja sembilan kilogram (RM22,500), metamphetamine (syabu) lapan kilogram (RM288,000), ketamin 158 gram (RM23,700), erimin 5 seberat 2.5 kilogram (RM187,500) dan pil ecstasy 135 gram (RM6,750).

“Turut dilupuskan daun ketum 1,600 kilogram (RM16,000), air ketum 2,753 liter (RM2,7530) dan kodein 13 liter (RM1,300),” katanya dalam kenyataan semalam.

Ahmad Dzaffir berkata, bagi tahun 2022 prestasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan dalam tempoh Januari hingga Ogos, secara keseluruhannya berjaya menahan 549 orang pengedar dadah.

“Selain itu, sebanyak 1,350 tangkapan atas kesalahan pemilikan dadah dan 2,437 individu atas kesalahan penyalahgunaan bahan berbahaya itu manakala jumlah nilai anggaran sitaan bagi tempoh sama membabitkan aset pengedar adalah berjumlah lebih RM8 juta,” katanya.

PDRM juga menasihatkan kepada masyarakat supaya lebih prihatin dengan keadaan sekeliling dalam mencegah sebarang kesalahan atau kegiatan dadah.

Baca Juga: Bagaikan hero, seorang kanak-kanak gagalkan percubaan culik

Baca Juga: Berselera makan sandwic – Ibu sangat sedih teringatkan itu makanan terakhir anaknya