Polis Thailand mengedarkan gambar Rosnazirah Mohd Naim, ke 19 balai polis di Wilayah Narathiwat bagi membantu mengesan wanita diculik pada 13 September lalu.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Jeneral Wan Seman Wan Salleh berkata, gambar seorang suspek lelaki turut diedarkan dan usaha itu dijalankan bagi membantu polis Kelantan yang mengesyaki mangsa diculik dan dilarikan ke Thailand.
“Kita kini menjalankan operasi besar-besaran bagi membantu PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengesan wanita yang juga ejen kosmetik berusia 36 tahun yang diculik dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat, pada 13 September lalu.
“Operasi mengesan mangsa itu digerakkan sejurus pihaknya menerima gambar mangsa dan juga seorang suspek yang dipercayai antara individu yang terlibat menculik wanita tersebut,” katanya.
Menurut Wan Seman,operasi mengesan mangsa dilakukan dengan pantas atas hubungan baik dengan polis Kelantan dan kerjasama rentas sempadan selama ini.
Katanya lagi, beberapa siri serbuan telah dijalankan di hotel, stor simpanan barang dan rumah kediaman, namun masih gagal menemukan mangsa.
“Polis Thailand juga telah memaklumkan mengenai kes tersebut di balai polis bersempadan dengan Kelantan iaitu di Balai Polis Sungai Golok, Waeng, Takbai dan Buketa supaya melipat gandakan usaha.
“Operasi ini juga melibatkan Unit Risikan Thailand yang kini masih menjalankan usaha mengesan,” katanya.
Wan Seman turut memaklumkan, gambar mangsa dan suspek juga diedarkan ke sempadan Wilayah Pattani dan Songkhla.
Baca Juga: Lelaki Singapura hilang di Hutan Lipur Panti Timur
Baca Juga: Derita seorang remaja 12 tahun, disahkan hidap HIV selepas bertahun-tahun dirogol keluarga sendiri