PRN Melaka : Rauf sedia kongsi rahsia kejayaanya menjadi kaya

Berita dipetik dari Agenda Daily

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusof sedia berkongsi kejayaannya menjadi kaya dengan orang ramai dan cara membina empayar perniagaan yang besar.

Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka itu dikaitkan dengan kemewahan yang dimilikinya, malah mempunyai villa sendiri di Tanjung Bidara serta juga kenderaan berjenama mewah, namun semua tersebut adalah hasil titik peluhnya berkecimpung dalam perniagaan.

Beliau mempertahankan semua aset yang dimiliknya kerana sudah menjalankan perniagaan lama dan bukan baharu sahaja, jadi ia bukan suatu yang luar biasa jika dibandingkan dengan kemewahan yang dimilikinya.

“Usia saya dah 60 tahun, saya bukan budak baru yang nak membina kejayaan, sudah pasti saya sudah memulakan perniagaan 40 tahun terdahulu.

“Sewaktu saya 20-an, saya sudah memulakan kerjaya sebagai ahli perniagaan dan juga saya orang korporat,” katanya dipetik dalam laporan Utusan Online semasa wawancara ekslusifnya baru-baru ini.

Beliau juga menjelaskan pernah memegang jawatan dalam syarikat tersenarai dalam bursa dan mempunyai pengalaman luas dalam perniagaan.

“Saya pernah menjadi pegawai eksekutif yang tersenarai di bursa saham, saya pernah uruskan syarikat besar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rauf turut mengakui mendapat pendidikan hanya peringkat sijil selepas menyambung pelajaran sekitar 1978 dengan menyertai Institut Kemahian Mara di Kampung Pandan tetapi tetap berbangga dengan pencapaian tersebut kerana hasilnya sudah berjaya sehingga ke tahap sekarang.

“Pada tahun 1978, saya merupakan anak kampung yang diambil MARA untuk masuk ke Institut Kemahiran Mara (IKM) Kampung Pandan.

“Tetapi saya bangga walaupun pendidikan itu nampak rendah iaitu seorang yang ada sijil tahun 1978, tetapi saya berjaya buktikan kebolehan yang Allah bagi sehingga saya berjaya sehingga hari ini,” terangnya lagi.

Beliau juga mengharapkan agar kisah kejayaannya itu akan menjadi inspirasi kepada anak muda untuk mencontohinya dan berusaha mencapai kejayaan sepertinya.

“Saya tidak perlu cakap kenapa saya berada di sini tetapi tanya bagaimana membina kehidupan ini dengan penuh usaha dan tekad seharusnya menjadi contoh kepada anak muda,” ujarnya lagi.

Beliau turut menawarkan diri untuk memberi panduan kepada anak muda cara untuk berjaya seperti dirinya dan berharap perkongsian itu akan dapat melahirkan lebih ramai anak tempatan berjaya sepertinya.

“Saya menawarkan diri, belajarlah bagaimana untuk dapat mengecapi kejayaan, tidak semudah jalan pintas tapi banyak ruang yang diberi kerajaan.

“Saya cukup bangga ‘Rauf repair aircond’ (penghawa dingin) kerana itu pendidikan asas 40 tahun dulu. Kita anak kampung, anak petani jadi saya mesti kembali berbakti kepada mak ayah saya,” katanya lagi.

Untuk rekod, Rauf yang juga Speaker DUN Melaka menjadi punca kemarahan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang mendakwanya membolot projek pasir di Melaka.

Idris juga menggepalai tiga lagi bekas ADUN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri UMNO, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menjadi punca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terpaksa diadakan.

sumber : https://www.agendadaily.com/politik/rauf-sedia-kongsi-kejayaan-jadi-kaya-jangan-hina-miliki-sijil-aircond/