Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yakin Pelan Alor Gajah Berwibawa boleh direalisasikan kerana manifesto itu dirangka mengikut realiti semasa.
Adly yang juga Pengerusi PH Melaka menyifatkan, manifesto adalah satu perkara biasa ketika pilihan raya dan pelaksanaannya mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.
Menurut Adly, beliau akan memberi keutamaan kepada perkara-perkara asas dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya diberi mandat selepas 19 November ini.
Katanya, perkara-perkara asas rakyat seperti pendidikan menjadi keutamaan beliau.
“Para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar harus diberikan fokus agar mereka tidak menjadi generasi yang ketinggalan.
“Saya akan pastikan mereka bukan sahaja mendapat pendidikan berkualiti, tetapi juga infrastruktur yang lebih baik untuk belajar.
“Selain itu, dalam usaha menjadikan Alor Gajah sebagai bandar satelit, aspek asas yang perlu diberikan tumpuan adalah sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Peniaga-peniaga ini telah terkesan dengan keadaan ekonomi yang teruk sejak dua tahun lalu, maka mereka perlu kembali dibantu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pelancaran Pelan Alor Gajah Berwibawa Ayer Keroh, semalam.
Dalam pada itu, Adly turut memberi keutamaan kepada isu keselamatan yang dibangkitkan penduduk seperti jalan berlubang dan ketiadaan lampu jalan terutamanya di kawasan sekitar Gadek dan Asahan.
“Kita harap perkara-perkara ini boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat,” ujarnya lagi.
Baca Juga: Hujan di hari mengundi, rakyat disaran keluar awal
Baca Juga: Wanita sanggup guna kad debit tertinggal, tak sangka tuan punya kad sanggup maafkan