Ratu Elizabeth II dimakam di Istana Windsor

Keranda yang mengandungi jasad bekas pemerintah United Kingdom (UK), mendiang Ratu Elizabeth II dimakamkan di sebuah gereja kecil di Istana Windsor, Berkshire, England, semalam.

Keluarga diraja memberikan penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II selepas jasad mendiang dikebumikan di sebelah makam suaminya, mendiang Putera Philip di gereja kecil tersebut.

Jasad mendiang ratu itu dimakamkan di Gereja Kecil Peringatan Raja George VI di istana tersebut pada waktu malam.
Sebelum dimakamkan, jasad Ratu Elizabeth II yang berada di dalam keranda diturunkan ke dalam lubang kecil buat sementara di gereja kecil St George di Istana Windsor.

Ia adalah acara simbolik kecil dengan mahkota mendiang ratu yang diletakkan di atas kerandanya itu turut dialihkan.

Dalam majlis keagamaan itu, turut hadir pemerintah Britain, Raja Charles III, isteri dan keluarga diraja lain termasuk anakandanya, Putera William merangkap Putera Wales dan Putera Harry.
Ratu Elizabeth II mangkat di Istana Balmoral, Scotland 8 September lalu pada usia 96 tahun.

Baca Juga: Netizen kagum kecekapan pemandu bas, ‘power driver’ dia!

Baca Juga: RM291.4 juta peruntukan untuk bomba naik taraf fasiliti, tambah aset