Roller coaster tergelincir landasan, lelaki cedera parah akibat tercampak

Mengerikan! Itu situasi yang dihadapi puluhan pengunjung di sebuah taman tema apabila sebuah roller coaster tergelincir daripada landasan semalam.

Insiden malang itu berlaku di sebuah taman tema di barat daya Wales.

Menurut Portal berita Daily Mail, seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan parah akibat tercampak daripada roller coaster itu.

Seorang saksi kejadian menceritakan, mereka mendengar jeritan meminta tolong daripada pengunjung yang terperangkap dalam roller coaster, selepas salah satu gerabaknya tergelincir dalam kawasan hutan di taman tersebut.

“Tidak sampai seminit dalam perjalanan, saya mendengar jeritan kuat dan menyedari gerabak bahagian belakang tergelincir dan menggelongsor dari landasan. Kemudian ramai wanita dan anak-anak kecil mula menangis.

“Saya ternampak seorang lelaki tertiarap di tanah sebelum kakitangan dan paramedik bergegas membantunya. Dia tidak bergerak tetapi kakitangan kemudian memberitahu saya dia sedar dan boleh bercakap,” kata salah seorang saksi yang turut menaiki roller coaster berkenaan.

Eksekutif Kesihatan dan Keselamatan mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan bersama pihak polis bagi mengetahui punca sebenar kejadian melibatkan roller coaster berusia lebih 30 tahun itu.

Susulan kejadian itu, jurucakap taman tema berkata, pihaknya telah mengosongkan taman tersebut dan ia terpaksa ditutup sementara kepada orang ramai sehingga siasatan selesai.

Baca Juga: Sanggup menyamar sebagai lelaki untuk cari cinta, siap curi-curi duduk asrama lelaki lagi

Baca Juga: PRU-15: PH Johor umum senarai calon 3 November