Pastinya sebagai ibu bapa kita akan cemas melihat rumah dinaiki air semasa banjir. Buat empat beranak ini mereka mengambil langkah pantas untuk tidur dalam kereta supaya senang untuk berpindah.
Kejadian dikatakan berlaku di Kampung Mengabang Tengah, Batu Buruk, Kuala Terengganu malam kelmarin.
Halina Mohamed, 52, berkata, dia dan suami, Awang Omar, 66, bersama dua lagi anak mereka tidur di dalam kereta sebelum berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chedering, di sini pada pukul 8.30 pagi semalam lapor Utusan.
Bekalan elektrik terputus
Mereka yang sedang tidur ketika itu terkejut apabila bekalan elektrik di rumah mula terputus selepas rumah dinaiki air sedalam 0.5 meter pada pukul 12.30 malam.
“Air banjir masuki ke dalam rumah dengan cepat sehingga kami tidak sempat menyelamatkan barangan ke tempat selamat.
“Saya mempunyai empat anak berusia 16 tahun hingga 27 tahun. Dua daripada mereka tidur di dalam kereta bersama saya dan suami, manakala seorang lagi anak tidur di rumah untuk menjaga keselamatan,” katanya.
Halina memberitahu, rumahnya dinaiki air selepas hujan lebat dan air laut pasang besar di Pantai Batu Buruk di sini.
Baca Juga: Jangan rasis keterlaluan kerana kedamaian itu terlalu mahal