Rumah pelakon Bollywood Shah Rukh Khan bertukar lautan manusia pada hari ulang tahun ke-57

Rumah pelakon terkenal Bollywood Shah Rukh Khan bertukar lautan manusia pada hari ulang tahunnya ke-57 2 November baru-baru ini.

Shah Rukh Khan yang menjadi kegilaan bukan sahaja di India tetapi di seluruh negara keluar di balkoni rumahnya turut melambai dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir kerana mengingati hari ulang tahun kelahirannya.

Gambar-gambar dan juga video para peminat hadir di hadapan rumah pelakon tersebut tular di media sosial apabila ribuan orang bersesak-sesak hanya ingin melihat idola mereka.

Saban tahun, wajah Shah Rukh Khan akan dipaparkan di bangunan pencakar langit Burj Khalifah pada malam ulang tahun kelahirannya.

Dalam pada itu, pelakon filem My Name Is Khan ini turut berkongsi gambar swafotonya bersama lautan peminat ke akaun Instagram dengan menyertakan ucapan terima kasih di atas ingatan mereka terhadap ulang tahun kelahirannnya.

“Sungguh indah hidup di hadapan laut…..lautan cinta yang tersebar di sekeliling saya pada hari lahir saya….terima kasih.” Bersyukur sangat kerana mereka membuatkan saya berasa begitu istimewa….& gembira,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Shah Rukh Khan turut berkongsi video yang berjaya dirakam bermula dari dia keluar dari rumah dan menuju ke balkoni sebelum memanjat sedikit pagar untuk melambai ke arah peminat tercinta.

Untuk makluman, raja Bollywood itu telah dilahirkan pada 2 November 1965 di New Delhi, India. Dia telah memulakan karier sebagai selebriti sejak tahun 1988 sehingga sekarang.

Shah Rukh Khan juga telah menerima gelaran Datuk apabila dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Melaka pada Disember 2008.