Selepas 25 tahun, RM100 juta kos angkat kejayaan Malaysia tawan Everest!

Ekspedisi Gunung Everest pada 1997 disertai 10 pendaki terpilih bakal diangkat ke layar perak dengan kos penerbitan mencecah RM100 juta.

Naskhah berjudul Peak of Heaven terbitan syarikat produksi tempatan, Fullmoon Pictures (M) Sdn Bhd itu bakal menjadi filem termahal dalam sejarah perfileman negara.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Fullmoon Pictures, Izzat Hazim berkata, sebagai projek yang misinya adalah meletakkan filem Malaysia di mata dunia, peruntukan besar amat diperlukan.

Menurutnya, kos penerbitan bagi mengangkat kejayaan rakyat Malaysia menawan puncak tertinggi dunia itu bagi menampung tenaga kerja pakar dari luar negara serta teknologi terkini pembikinan filem.

“Selepas lebih dua dekad sejarah itu dilakar, tidak banyak kisah mereka diceritakan. Kami hanya memahami pahit getir pendaki ketika mengkaji mengenai kisah berkenaan. Ini termasuk proses temubual, artikel dan dokumentari.

“Bagi memastikan nama wira yang tidak didendang ini terus mekar dalam lipatan sejarah negara, kami ambil inisiatif menghasilkan filem berkisar pengalaman mereka dalam ekspedisi itu.

“Filem ini menelan belanja kira-kira RM100 juta kerana kita akan menggunakan teknik rakaman stage craft (The Volume) yang banyak digunakan dalam filem terbitan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Teknologi ini sahaja menelan belanja sebanyak RM45 juta kerana kecanggihannya lebih hebat dari penggunaan teknik imej janaan berkomputer (CGI),” lapor BH Online.

Izzat menambah biarpun bajet diperlukan RM100 juta, namun, ia boleh dianggap sedikit berbanding filem genre serupa yang pernah diterbitkan.

“Pada 2015, Hollywood pernah menerbitkan sebuah filem berjudul Everest dengan kos bernilai RM250 juta.

“Pada kos RM100 juta yang akan dilaburkan, filem Peak Of Heaven masih dianggap sedikit untuk sebuah filem bertaraf mega,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran francais media yang dikenali sebagai The Summit-97 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu negara, baru-baru ini.

Filem arahan R Shatish bersama beberapa sutradara dari luar negara ini bakal menjengah pawagam pada April 2023.

Sejajar kos yang diperuntukkan, Izzat memberitahu, mereka sudah membayangkan siapa pelakon dan tenaga produksi antarabangsa impian yang akan bekerjasama dalam projek itu.

“Memandangkan misi kami adalah untuk menayangkan filem ini di peringkat global, khidmat pelakon terkenal amatlah diperlukan.

“Produksi berminat untuk bekerjasama dengan dua selebriti antarabangsa kelahiran Malaysia yang berjaya mencipta nama di luar negara iaitu Henry Golding dan pemenang Australian Idol musim pertama, Guy Sebastian sebagai penyanyi runut bunyi filem ini.

“Selain itu, kita juga akan mendapat khidmat pemenang Anugerah Akademi iaitu komposer A Rahman dan pakar sinematografi, Phedon Papamichael sebagai antara tenaga produksi filem ini.

“Bagaimanapun, kita tetap akan mengambil pelakon tempatan untuk terbabit dalam pembikinan filem ini. Kami mahu mereka menimba pengalaman dengan tenaga kerja dari luar negara ini.

“Filem arahan R Shatish yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Fullmoon Pictures bersama beberapa sutradara dari luar negara ini akan memulakan penggambaran selepas pertengahan tahun,” katanya.

Jika segala-galanya lancar, Izzat memaklumkan filem ini bakal menjengah pawagam pada April 2023.

The Summit 97 adalah kempen yang digerakkan sempena sambutan ulang tahun ke-25 kejayaan Malaysia menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.

Selain pembikinan filem, kempen dilancarkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker itu turut menghasilkan penerbitan buku, dokumentari, aplikasi permainan, muzik latar asli, rakaman belakang tabir dan animasi.

Turut hadir pada hari pelancaran adalah enam pendaki negara yang mencipta rekod iaitu Datuk M Magendran; Datuk N Mohanadas; Aimi Zairin Mohamed; Gary Chong; Borhan Ibrahim dan Zahidi Paiman.

Imbas kembali kejayaan 23 Mei 1997

Buat pertama kalinya, Jalur Gemilang berkibaran di puncak dunia pada ketinggian 8,848 meter ketika M. Mohanadas dan N.Magendran menjadi dua rakyat Malaysia pertama yang menjejakkan kaki ke sana.

Magendan tiba dahulu, pada jam 11.55 pagi waktu Nepal (2.10 petang waktu Malaysia) sebelum Mohanadas sampai 15 minit kemudian. Menjadikan juga mereka warga Asia Tenggara yang pertama menakluk gunung tertinggi dunia itu.

Mereka adalah dua daripada 10 pendaki Malaysia yang menganggotai ekspedisi Projek Malaysia-Everest ’97 yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri (kini Tun) Dr. Mahathir Mohamad.

Setibanya di atas sana, mereka menghubungi pasukan Malaysia di Kem 2 (di ketinggian 6,000 meter) menggunakan ‘walkie-talkie’ sebelum mesej itu dihantar ke ‘Everest Base Camp (EBC) kemudian disambut oleh pasukan penaja siaraya, RTM.

Berita diumumkan dari mini studio RTM yang dibina di kem yang berada pada ketinggian 5,364 meter itu, dan mereka cuba menghubungi Perdana Menteri yang ketika itu berada di London.

Namun, panggilan gagal disambungkan ekoran cuaca buruk di Himalaya.

Selepas pendakian penuh cabaran selama lima hari, Magendran dan Mohandas meluangkan masa kira-kira 45 minit di puncak sebelum bergerak turun kembali ke dasar.