Selepas dipecat UMNO, ini respon Tajuddin

Bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata beliau akan terus membantu partinya UMNO di peringkat bahagian walaupun dipecat dari jawatan tersebut.

Memetik laporan Utusan Online, tiada istilah patah semangat dan beliau akan terus membantu UMNO kerana selama ini segala perbelanjaan di bahagiannya menggunakan duit poket sendiri dan bukannya dari dana UMNO, tegas Tajuddin.

“Baguslah, tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Hasan. Terima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah melepaskan saya daripada tanggungjawab yang begitu berat. Yang saya pikul selama hari ini dengan tenaga, masa saya, duit saya, satu sen pun tidak ada daripada UMNO. Saya buat kerana parti.

“Presiden ambil keputusan begitu, saya tidak rugi. Kalau nak potong hubungan saya dengan rakan UMNO di seluruh negara, tidak akan putusnya. Hubungan saya akan menjadi lagi akrab. Saya tidak akan tinggalkan kawan-kawan saya di bahagian dan cawangan. Saya akan bantu mereka setakat yang saya mampu.

“Orang di Bahagian dan Dewan Undangan Negeri (DUN) banyak masalah dan kekurangan dari segi tenaga logistik perbelanjaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam Presiden UMNO mengumumkan pertukaran jawatan tersebut yang berkuat kuasa serta merta dan merupakan penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya UMNO untuk memperkukuh organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi.

Mengulas lanjut, Tajuddin turut berkata, beliau tidak dipanggil Ahmad Zahid untuk berbincang sebelum keputusan dibuat.

Malah, tindakan itu turut disifatkan sebagai satu ‘kelebihan’ yang ada pada Presiden UMNO, yang sukar untuk dimiliki pada pemimpin lain.

“Keistimewaan beliau, jangan main-main. Tidak ramai orang yang ada keistimewaan itu,” ujarnya lagi.

sumber : https://suara.tv/14/07/2021/walaupun-saya-dipecat-saya-tetap-akan-bantu-umno-kata-tajuddin-rahman/