Sengaja jatuhkan beban 20kg atas kepala orang masa tengah gim, lelaki dipenjara 19 bulan

Padah sengaja jatuhkan beban 20kg atas kepala orang masa tengah gim, lelaki dipenjara 19 bulan. Seorang pengunjung gim di Darwin Australia meringkuk di penjara selama 19 bulan atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengunjung lain.

Shane William Ryan, 33, didakwa melakukan serangan di sebuah gimnasium itu dengan secara sengaja menjatuhkan beban seberat 20 kilogram (kg) pada kepala mangsa.

Menurut laporan Harian Metro, Ryan dan mangsa sedang bersenam pada pagi 22 Oktober 2020 sebelum dia menyasarkan mangsa yang sedang melakukan senaman di bangku ketika kejadian.

Mahkamah dimaklumkan Ryan berjalan ke arah mangsa yang dalam keadaan terlentang dan menjatuhkan beban ke atas kepalanya sehingga lelaki itu jatuh ke lantai.

Menerusi rakaman video yang dikongsi di mahkamah, mangsa dilihat mengalami pendarahan di kepala sebelum tengkorak disahkan retak.

Ryan yang menyebabkan kecederaan pada buku lali sendiri pula dilihat berjalan keluar dari lokasi kejadian sebelum menghubungi ambulans untuk bantuan.

Rakaman video itu hanya dikongsi kepada umum baru-baru ini lapor News.Au.

Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara selama 19 bulan kerana tindakan yang ekstrem terhadap mangsa yang tidak mampu melindungi dirinya, kata Hakim John Burns.

“Pada 3.30 pagi pada hari kejadian, kamu dan mangsa hadir di Next Level Gym di Rosebery.

“Pada 3.52 pagi, mangsa berbaring untuk melakukan senaman rutin menggunakan dumbel.

“Kamu kemudian mengangkat plat besi seberat 20kg dan berjalan ke arah mangsa sebelum kamera merakamkan tindakan kamu melepaskan plat itu ke atas kepala mangsa.

“Tindakan itu menyebabkan mangsa terjatuh dari bangku dan mengalami pendarahan di kepala,” katanya.

Mahkamah Persekutuan dimaklumkan mangsa mengalami patah tulang pada bahagian kiri muka selain kecederaan pada kening.

Mangsa juga mengalami kesakitan pada kepala dan dada selain bengkak di muka susulan kejadian itu.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/global/asia/2022/03/824460/tindakan-makan-diri\

Baca juga: https://themalaysialife.com/dua-pelajar-di-arah-belajar-di-kaki-lima-hanya-kerana-belum-divaksin/