Siapa pilihan Najib untuk diangkat jadi PM? Ini jawapanya…

DATUK Seri Najib Tun Razak yang dianggap pemimpin paling berpengaruh dalam UMNO berkata, parti itu tidak gila kuasa tetapi cuma mahu seorang Perdana Menteri dan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) baharu untuk fokus menyelesaikan masalah Covid-19 secepat mungkin, tanpa memikirkan bagaimana nak kekalkan kuasa atau katak yang mana lagi boleh dibeli.

Malah bekas Perdana Menteri yang cukup popular dalam media sosial itu berkata, Parlimen akan dibubarkan untuk menyerahkan mandat kepada rakyat bagi menyelesaikan masalah kerajaan tidak stabil,selepas tiga dan enam bulan Perdana Menteri baharu dilantik menerajui negara dengan imuniti kelompok dicapai dan krisis Covid-19 berakhir.

Wah hebat betul! cuma penulis nak tanya, siapa individu yang ada dalam fikiran Najib untuk menjadi Perdana Menteri? Apakah beliau sendiri? Atau ada calon lain daripada UMNO atau calon daripada jajaran politik baharu?

Kalau tengok kepada hubungan antara parti-parti politik ketika ini, mahu memilih seorang Perdana Menteri baharu prosesnya bukan macam undi dalam media sosial yang ‘orang tu’ selalu menang.

Jika UMNO mahu pemimpinnya menjadi Perdana Menteri, siapa calonnya? Layakkah sebuah parti yang kalah dalam pilihan raya dilantik menduduki jawatan itu? Adakah UMNO mempunyai sokongan yang cukup? Berapa kerusi Barisan Nasional (BN) sekarang?

Berapa ahli Parlimen UMNO,BN yang menyokong keputusan MT UMNO menarik semula sokongan daripada Muhyiddin?

Kalaulah Najib menyimpan cita-cita untuk kembali menduduki jawatan itu, adakah parti-parti lain akan setuju? Tak cukupkah lagi sembilan tahun menjadi Perdana Menteri yang kemudiannya menerajui BN dan UMNO tumbang dalam PRU-14 kerana skandal ‘1 syarikat’ itu?

Tetapi Najib dah kata UMNO tak gila kuasa, jadi sudah tentulah beliau tak gila kuasa atau apatah lagi bercita-cita untuk membuat ‘come back’? Justeru adakah Najib mahu menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah dua kali bak orang kata selangkah lagi nak masuk pejabat Perdana Menteri tetapi tidak menjadi kenyataan? Atau adakah Najib mahu menerima cadangan dangkal diwujudkan kerajaan interim?

Najib patut cakap terus terang, berilah cadangan, ‘jangan malu-malu’, bukankah beliau popular dengan slogan ‘Malu apa bossku’?. Seronok juga kalau dapat tahu siapa yang Najib hendak cadangkan.

Namun Najib mengambil jalan selamat apabila sekadar melepaskan geram mahu Perdana Menteri baharu dengan alasan bagi memastikan pandemik Covid-19 ditangani dengan berkesan.

Najib sepatutnya berterus terang sahaja bahawa beliau tidak mahu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, ada cakap-cakap beliau mahu melihat Muhyiddin yang menyebabkan beliau kehilangan jawatan Perdana Menteri merasai betapa peritnya apabila itu berlaku, betulkah cakap-cakap tu?

Walaupun Najib tahu kerajaan berusaha bertungkus lumus dan melakukan pelbagai cara malah di negara-negara lain juga majoritinya masih bergelut dengan pandemik luar biasa itu tetapi bekas Perdana Menteri tersebut tetap juga mencari kesalahan dan kelemahan kerajaan.

Sebagai seorang yang pernah berada di kedudukan Muhyiddin, Najib pun tahu menangani pandemik tersebut bukan mudah apatah inilah kali pertama negara berhadapan dengan satu ancaman yang mencetuskan krisis kesihatan dan ekonomi.

Sebelum ini negara yang berhadapan dengan cabaran kemelesetan ekonomi sahaja. Justeru sepatutnya Najib lebih faham, tetapi oleh kerana dendam politik dan mungkin sudah teruja dengan pelbagai sanjungan bahawa ramai mahu beliau menjadi Perdana Menteri melalui undian online, maka setiap hari Najib melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap kerajaan.

Najib jauh lebih aktif berbanding Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang. Kalau Najib mempunyai idea terbaik yang boleh menangani pandemik ini kemukakan sahaja kepada kerajaan.

Penulis akui ada cadangan yang beliau kemukakan tetapi pada masa sama kerajaan juga ada alasan kenapa sesetengah cadangan itu tidak boleh dibuat. Sudah pasti sebagai bekas Perdana Menteri serta bekas Menteri Kewangan terbaik, Najib tahu boleh buat atau tidak, cadangan yang dikemukakan dan apa kekangan serta kesannya.

Apabila Najib berkata, PM8 perlu mengambil tanggungjawab untuk undur, setelah keadaan Covid-19 dan ekonomi tambah berkali ganda lebih teruk, penulis teringat apa yang berlaku sekitar tahun 2015 hingga 2018.

Ketika itu betapa hebat desakan dibuat supaya beliau bertanggungjawab dan mengundurkan diri kerana isu 1MDB boleh menjatuhkan kerajaan BN dalam PRU-14 tetapi Najib terus bertahan malah Muhyiddin telah disingkirkan daripada jawatan TPM pada Jun 2015 disusuli pemecatan daripada UMNO ketika masih memegang jawatan Timbalan Presiden parti pada tahun Julai 2016.

‘Kesalahan’ Muhyiddin ketika itu hanya satu iaitu membangkitkan isu 1MDB, turut terima nasib yang sama ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir manakala Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian.

Begitu juga apabila beliau bercakap soal kerajaan stabil, macam mana nak wujud kerajaan stabil, kalau setiap hari ada pemimpin yang terus mengkritik dan mengecam apa juga langkah kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.

Najib berkata, beliau bersuara demi rakyat tetapi kenapa mahu sampai ke tahap mahu Muhyiddin berundur. Tidakkah itu akan menyebabkan ketegangan politik berlaku. Kalau UMNO ada kekuatan atau pengaruh untuk tubuh kerajaaan, tidak mengapa juga, masalahnya dalam parti sendiripun berantakan.

Pada pandangan penulis, kalau Najib mahu terus melakukan kritikan terhadap kerajaan silakan sahaja tetapi ia tidak bermakna kerajaan wajib ikut. Lagipun sekarang dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri kanan Kluster Keselamatan, biarlah mereka membuat kerja dengan tenang dalam memulihkan negara dan Covid-19.

Tambahan pula mereka bukannya daripada parti lain, daripada UMNO juga. Dan ada dua lagi menteri UMNO yang menguruskan Covid-19 iaitu Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr.Adham Baba.

Sekarang apabila Ismail Sabri sudah berada di kedudukan itu, beliau boleh memainkan peranan lebih berkesan tetapi Najib berilah peluang kepada gandingan Muhyiddin-Ismail Sabri, bukannya terus nak minta tukar Perdana Menteri.

Kalau beliau ada idea siapa boleh berganding dengan Ismail Sabri tak apa jugak ini sekadar membuat kenyataan mahu Muhyiddin berundur sahaja seolah-olah ada pemikiran,’’tak apa yang penting PM8 turun dulu, apa nak jadi selepas itu, kita fikir kemudian’’ – Tak kanlah beliau ada pemikiran seperti itu?

Justeru diharapkan Najib akan sebut siapa calon PM dalam fikiran beliau, senang sikit semua parti politik nak pertimbang, kalau tak ada, lebih baik tumpukan sahaja membawa suara rakyat supaya kerajaan boleh melakukan penambahbaikan dan tunggu sahaja PRU-15 untuk melakukan perubahan kepemimpinan negara tak lama pun, itupun kalau beliau boleh bertanding.

sumber : https://utusantv.com/2021/07/12/siapa-calon-perdana-menteri-pilihan-najib/