Suhu panas melampau, pakar perubatan beri amaran risiko lonjakan kes kanser kulit

Suhu panas melampau dikhuatiri akan meningkatkan risiko lonjakan kes kanser kulit yang berpotensi membawa maut seperti melanoma.

Amaran pakar perubatan itu susulan suhu tertinggi United Kingdom (UK) yang direkodkan iaitu 40.2 darjah Celsius bulan lalu.

Dalam masa sama, para saintis juga sebelum ini memaklumkan gelombang haba dan cuaca panas melampau berkemungkinan berterusan.

Pakar perubatan kini menegaskan perubahan iklim akan memberi kesan jangka panjang jika orang ramai menghabiskan lebih banyak masa di bawah sinaran matahari dan terdedah kepada sinaran ultraviolet (UV), lapor The Guardian dipetik Utusan Malaysia.

Menurut profesor onkologi perubatan di Universiti Sheffield, Sarah Danson, suhu panas melampau dibimbangi akan menyebabkan pertambahan kes melanoma.

“Sebagai seorang doktor yang merawat pesakit melanoma, saya bimbang trend berterusan pada cuaca panas melampau ini akan membawa kepada lebih banyak kes melanoma dan kematian akibat penyakit itu,” jelasnya.

Saintis perubatan yang mengetuai pasukan penyelidik melanoma di Universiti Leeds, Julia Newton-Bishop berkata, melanoma pada dasarnya disebabkan oleh selaran matahari.

“Cuaca panas ini sangat melampau sehingga saya bimbang selaran matahari akan meningkat dan seterusnya berlaku kejadian melanoma,” ujarnya.

Mengikut rekod Kajian Kanser UK, kadar kematian akibat kanser kulit dalam kalangan lelaki di Britain melonjak lebih tiga kali ganda sejak 1970-an dengan peningkatan juga direkodkan dalam kalangan wanita.