Sulaiman angkat sumpah Ketua Menteri Melaka pukul 1 pagi semalam

Berita dipetik dari FMT

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di sini, awal pagi tadi.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berkenaan dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam di Dewan Seri Utama.

Turut hadir isteri Mohd Ali, Asmah Abd Rahman, Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Najib Razak.

Sulaiman, 55, sebelum ini dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ini merupakan kali kedua Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan berkenaan pada tahun lepas.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata berkata senarai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri bagi membantu pentadbirannya akan diumumkan minggu depan.

Katanya beliau akan meneliti perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum membincangkannya dengan Mohd Ali.

“Insya-Allah saya akan memaklumkan perkara ini juga selepas saya mengambil kira segala aspek, kebolehan, begitu juga pengalaman (Exco) bagi setiap portfolio yang akan saya lantik nanti berlandaskan kepada mereka yang telah memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ditanya mengapa istiadat mengangkat sumpah jawatan berkenaan diadakan pada awal pagi tadi berbanding jadual asal pada petang nanti, Sulaiman berkata perkara itu perlu disegerakan kerana ada Mesyuarat Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri pada Selasa, disusuli dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja di Kuala Lumpur.

“(Jadi) masa itu agak suntuk, esok (hari ini) dah hari Ahad, kemudian banyak perkara yang perlu kita perbincangkan dulu dengan Tuan Yang Terutama Tun. Bila dimuktamadkan hari Selasa kita nak bergerak (ke kedua-dua mesyuarat tersebut)…kena angkat sumpah juga pada malam ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis istiadat berlangsung.

sumber : FMT