Tak boleh terima dapat markah rendah, dua pelajar pukul guru dengan kayu besbol

Mental pelajar sekarang tidak sama dengan pelajar dahulu. Akibat tidak boleh terima markah rendah, dua pelajar sekolah tinggi di Iowa belasah guru wanita dengan kayu besbol hingga maut.

Kedua pelajar ini bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup kerana didakwa membunuh seorang guru mata pelajaran bahasa Sepanyol kerana tiak berpuas hati dengan markah yang diterima lapor Metro UK.

Willard Miller dan Jeremy Goodale, kedua-dua mereka berusia 16 tahun, didakwa membunuh Nohema Graber dengan membelasahnya sehingga mati dan menyembunyikan mayat mangsa di sebuah kawasan padang di luar bandar Fairfield, awal November tahun lalu.

Berdasarkan siasatan, polis mendapati mangsa bertemu dengan Miller di Sekolah Tinggi Fairfield pada petang 2 November 2021 bagi berbincang mengenai markah rendah subjek bahasa Sepanyol yang diperoleh suspek.

“Markah rendah itu dipercayai menjadi motif kepada pembunuhan mangsa yang dikaitkan secara langsung dengan suspek,” kata pendakwa raya.

Mangsa dikatakan memandu ke sebuah taman untuk bersiar-siar sebelum saksi mendakwa dua remaja berada di tempat duduk pemandu dan penumpang van yang sama digunakan mangsa ketika meninggalkan taman.

Beberapa saksi lain turut mengesahkan kedua-dua suspek menghubungi mereka dan meminta untuk dijemput di sebuah bahagian terpencil di luar bandar tersebut. Van milik mangsa turut ditemui terbiar di hujung jalan yang sama.

Ketika disoal polis, Miller mengaku bahawa dia berasa kecewa dengan cara mangsa mengajar subjek tersebut. Dia turut mengaku berada di lokasi kejadian ketika mangsa dibunuh, namun tidak terlibat dalam pembunuhan itu.

Kedua-dua remaja tersebut akan dibicarakan sebagai orang dewasa di Iowa di mana mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah. – Agensi

Baca Juga: Tiada akaun TikTok, Elfira minta pengguna laman maya buat laporan terhadap akaun yang guna namanya

Baca Juga: Muka cuak guna blender – Aksi si cilik ini buat netizen terhibur