Tergamak culik dan samun nenek tua, 4 lelaki berjaya larikan emas dan duit RM16

Entah apa yang terlintas di minda penjahat sehingga empat lelaki ini sanggup menculik dan samun seorang nenek yang berusia 90 tahun. Kejadian dikatakan berlaku ketika warga emas tersebut sedang menyapu sampah di luar rumahnya di Bantul, Yogyakarta Ahad lalu.

Empat lelaki dikatakan menghampiri mangsa yang sedang menyapu sampah di laman rumahnya di Piyungan dengan menaiki kenderaan apabila salah seorang suspek dikatakan menarik mangsa dan memaksanya masuk ke dalam kenderaan bersama mereka.

Ketua Polis Piyungan, Kompol Soegihartono berkata, empat suspek tersebut sempat melarikan emas seberat 14 gram dan wang tunai 200,000 rupiah (RM16).

“Ketika di dalam kenderaan itu, mulut nenek berkenaan ditutup dan gelang emas seberat lebih 14 gram di tangan kirinya dirampas.

“Perompak itu juga mengambil wang 200,000 rupiah (RM61) dari poket mangsa,” jelasnya.

Selepas dirompak warga emas itu dibawa menuju ke kawasan perindustrian dan diturunkan. Soegihartono berkata, mangsa kemudian diselamatkan oleh seorang kenalannya yang kebetulan berada di kawasan itu lapor Kompas.com.

“Nasib ada yang kenal dengan warga emas ini dan mereka terus menolong memberitahu keluarganya sebelum membawanya pulang,” katanya.

Balai Polis Piyungan menerima laporan kes berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi Ahad lalu dan siasatan lanjut untuk menahan kumpulan perompak tersebut masih dijalankan.

Baca Juga: Lelaki ini ‘kawan’ dengan aligator, berjaya atasi kemurungan

Baca Juga: Babi jadi ’emas’ – Kadar inflasi di negara ini tertinggi dalam dua tahun