Terkejut hutang air RM27 juta hanya kerana 4 jajahan di Kelantan tidak bayar bil

Terkejut hutang air mencecah RM27 juta hanya 4 jajahan yang tidak membayar. Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mendedahkan puluhan juta bil air gagal dibayar oleh penduduk di empat jajahan negeri itu setakat 31 Disember lalu.

Empat jajahan tersebut membabitkan penduduk di Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.

Jumlah RM27 juta itu melibatkan kegagalan pengguna membayar bil air selama tiga bulan atau lebih sehingga menyebabkan berlakunya tunggakan.

“Bagaimanapun ada sesetengah jajahan seperti di Jeli, pengguna membuat pembayaran dengan baik dan kebanyakannya tunggakan tidak sampai dua bulan.

“Tunggakan dalam tempoh tiga bulan itu adalah dikira prosedur tinggi, jadi kita sasar supaya ia dapat turun sehingga dua bulan,” kata Pemangku Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail.

Izani memberitahu, pihaknya sedang melaksanakan program bagi menggalakkan pengguna membuat pembayaran tunggakan bil air secepat mungkin.

Katanya, pembayaran tunggakan ini sebenarnya akan membantu aliran tunai ASKB dan mampu mempercepatkan lagi tindakan terutama dalam kerja-kerja pembaikian paip.

“Kalau kita dapat bayaran cepat, duit itu boleh digunakan untuk tingkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

“Untuk makluman, sehingga kini AKSB mempunyai 274,000 akaun yang membabitkan pengguna domestik dan bukan domestik,” ujarnya.

Baca juga: Sajat bidas penjual kek tapak kuda guna bahan diboikot tanpa rasa bersalah