Empat tahun lalu, industri seni digemparkan dengan penyalahgunaan dadah melibatkan Farid Kamil. Namun hari ini, Mahkamah Rayuan mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana menggunakan dadah, dan sekaligus Farid terlepas hukuman penjara.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir Farid Kamil, 41, selaku perayu bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.
Bagaimanapun, Hakim Kamaludin mengekalkan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap pelakon itu dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda dan Farid membayar denda berkenaan lapor Harian Metro.
Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan
Kamaludin dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil.
Hakim itu berkata, tiada satu penjelasan konkrit yang boleh menyatakan bahawa hukuman tersebut setimpal dengan kesalahan dilakukan pada masa itu dan tiada aspek pemberatan contohnya tiada kesalahan lampau atau sebagainya.
“Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung kepada fakta kes itu. Dalam kes ini, kami dapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat.
“Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu dan memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikan serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan di bawah AADK dikekalkan,” kata hakim itu.
Mahu fokus penggambaran
“Saya gembira kerana kes ini telah selesai di peringkat rayuan dan kini saya boleh fokus terhadap penggambaran filem seterusnya berjudul Anwar, yang kini berada di peringkat akhir serta bakal ditayangkan pada Februari 2023,” katanya yang turut berterima kasih kepada barisan peguam mewakilinya.
Farid Kamil diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon dan Low Wei Loke manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang.
Baca Juga: Tiada pelakon berani bawa watak Anwar Ibrahim, Farid Kamil sahut cabaran
Baca Juga: Dituduh cari perhatian – Ini reaksi ‘pedas’ Lando Zawawi