Polis melancarkan siasatan ke atas satu video tular yang memaparkan insiden seorang remaja menyerang dan membunuh seekor aligator menggunakan sebilah parang.
Menurut akhbar Daily Star, kejadian dilaporkan berlaku di negeri Florida, Amerika Syarikat.
Berdasarkan video tersebut, remaja memakai seluar pendek dan hoodie berwarna biru itu menetak kepala aligator berkenaan.
Pada masa sama, perakam video tersebut didengari ketawa sepanjang insiden itu.
Aligator tersebut dilihat dalam keadaan berdarah selepas tetakan pertama dan sebelum itu, reptilia berkenaan tersekat pada tali pancing.
Aligator itu kemudianya mati selepas ditetak kali kedua dan polis kini memburu dua remaja terbabit.
Seorang pengendali reptilia di daerah Lee, Alex Link, menggelar serangan itu sebagai ‘kekejaman tanpa sebab’.
“Kekejaman itu dilakukan tanpa sebab, di mana aligator itu secara tidak sengaja tersekat ketika mereka memancing.
“Terdapat cara betul untuk melepaskan haiwan itu daripada tali pancing, justeru, penyeksaan tersebut dilakukan tanpa sebab,” katanya.
Tambah Link, cara remaja tersebut menyeksa aligator itu menggunakan parang merupakan satu tindakan jenayah.
“Anda berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun serta beberapa denda serius.
“Ia diklasifikasikan sebagai pemburuan haram kerana mereka membunuh aligator itu,” ujarnya lagi.
Siasatan masih berjalan dan identiti kedua-dua remaja itu masih belum dapat dikenal pasti.
Baca Juga: Hujan di hari mengundi, rakyat disaran keluar awal
Baca Juga: Cara suami ini hiburkan isteri, ala-ala Ariel Noah tengah ‘perform’ di pentas