Thailand beri 1 juta ganja untuk kempen

Thailand beri 1 juta ganja untuk kempen. Negara tersebut melancarkan kempen untuk memberikan 1 juta tumbuhan ganja percuma, sehari selepas membenarkan penanamannya untuk tujuan komersial.

Bagaimanapun ia tidak menggalakkan orang ramai menjadi ketagih dan memberi amaran bahawa mereka masih boleh didakwa melanggar undang-undang.

Thailand membenarkan ganja pada 2018 untuk kegunaan perubatan tetapi kini berhasrat untuk membangunkannya sebagai tanaman yang boleh membawa pulangan dan membina industri tempatan yang menguntungkan.

“Jangan gunakannya dan duduk sambil tersenyum di rumah hingga tidak selesaikan apa-apa kerja. Perkara itu bukan dasar kami,” kata Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul pada pelancaran di Buriram, di mana 1,000 anak pokok pertama diedarkan.

“Kami telah memadamkan stigma, ia sama seperti membuang tatu. Jangan biarkan ia kembali,” katanya sambil menambah ganja harus digunakan untuk meningkatkan kesihatan.

Pada Khamis, ganja telah dinyahsenarai daripada senarai narkotik negara, membolehkan orang ramai menanam tumbuhan itu jika mereka mendaftar pada aplikasi kerajaan.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menggalakkan penggunaan rekreasi, manakala merokok dengan kandungan ganja di tempat awam boleh membawa kepada penjara dan denda.

Kompaun psikoaktif dalam ganja, tetrahydrocannabinol atau THC, dihadkan kepada 0.2 peratus dalam ekstrak ganja dan produk yang boleh dijual di Thailand, termasuk minyak dan gula-gula.

Menanam ganja di rumah memerlukan pendaftaran dengan aplikasi telefon pintar kerajaan, PlookGanja atau “tanam ganja”.

Anutin berkata, lebih 300,000 orang telah mendaftar dengan aplikasi itu, yang mempunyai jutaan muat turun daripada individu yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ganja.

Menurut jabatan penjara Thailand, 3,000 orang telah dibebaskan dari penjara selepas ditahan atas jenayah berkaitan ganja sejak undang-undang diubah minggu ini.

Baca Juga: Thailand benarkan tanam ganja, kini bukan lagi tergolong dalam senarai dadah

Baca Juga: Kontrak RM30.75 juta semata-mata untuk ganti 200 tiang lampu DBKL?