Tiada letupan mercun, hanya bunga api pop pop dibenarkan ketika Chap Goh Mei

Kebiasaannya, kira-kira dua minggu selepas masyarakat Cina di negara ini meraikan Tahun Baru, ia akan disusuli satu lagi perayaan iaitu Chap Goh Mei, yang turut dimeriahkan dengan letupan mercun dan bunga api.

Bagaimanapun untuk tahun ini pihak berkuasa hanya membenarkan kaum itu membakar bunga api Happy Boom dan mercun Pop Pop.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya membenarkan penjualan bunga api jenis Happy Boom dan mercun Pop Pop sempena perayaan Chap Goh Mei, Selasa depan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata ini kerana bunga api dan mercun berkenaan tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.

Bagaimanapun, beliau berkata penjualan kedua-dua produk itu masih memerlukan permit dari Ibu Pejabat Polis Daerah dan mengikut spesifikasi ditetapkan.

“PDRM mengingatkan orang ramai bahawa larangan memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api masih lagi berkuat kuasa sempena mana-mana perayaan termasuklah sambutan Tahun Baharu Cina dan perayaan Chap Goh Mei,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sesiapa didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api selain daripada yang dibenarkan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Abd Jalil berkata mereka yang bermain atau membakar mercun dan bunga api dilarang juga boleh dihukum penjara tidak melebihi sebulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut peruntukan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Sumber; Bernama