Tinggal sehelai sepinggang, rumah dan kereta mewah hangus dijilat api

Dalam sekelip mata, wanita ini hilang segalanya apabila rumah didiami dan empat buah kereta milik keluarganya hangus terbakar. Kejadian dikatakan berlaku di Taman Angkasa Nuri, Melaka, awal pagi Selasa lalu.

Wanita berusia 50 tahun, Liliwati Kaharudin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 pagi itu terjadi semasa dia dan anak perempuan berusia 15 tahun sedang tidur, manakala dua lagi anaknya masih berjaga.

Dia memaklumkan kepada Utusan, kebakaran itu di­sedari anak perempuannya yang berusia 20 tahun selepas terbau asap dan mendapati api mula marak dari bahagian belakang pendingin hawa di tingkat bawah.

“Anak terus menjerit, katanya ada api, saya yang tidur di tingkat bawah terjaga dan keluar memeriksa keadaan.

“Anak sulung berusia 23 tahun pula menjerit memanggil adik bongsunya yang sedang tidur di bilik atas dan kami empat beranak berlari menyelamatkan diri sebelum api semakin marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambah Liliwati, nahas turut memusnahkan empat kenderaan milik keluarganya iaitu kereta jenis Honda Civic, BMW, Honda HRV dan motosikal Yamaha NVX 155.

“Jiran-jiran cuba membantu memadam kebakaran, namun tidak berjaya kerana bahagian bawah rumah telah terbakar hampir 80 peratus.

“Saya cuba nak selamatkan sebuah daripada kereta sebelum api marak ke bahagian hadapan, namun tingkap kenderaan itu tiba-tiba meletup membuatkan saya jadi takut dan membatalkan hasrat,” jelasnya.

Sementara itu, Komander Ope­rasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zahrul Azha Mokthar ketika dihubungi berkata, panggilan ke­cemasan di­terima pukul 1.45 pagi dan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.

Baca Juga: Mayat nelayan ditemui tersangkut pada enjin bot

Baca Juga: ‘Syarikat penghantar makanan dari dulu sampai sekarang cuma diamkan diri bila rider ditimpa kemalangan’