Tular video 2 lelaki kena sebat dengan getah paip sambil digelak, Polis mula siasat

Polis sedang menjejaki beberapa individu berhubung video tular yang memaparkan dua lelaki disebat berulang kali dengan getah paip.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah pejabat di kawasan Chow Kit pada 29 April lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan itu berdasarkan laporan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk menyiasat asal-usul video itu.

“Pada 29 April terkesan satu video viral berdurasi selama 54 saat yang menunjukkan dua lelaki telah dipukul dengan getah paip dan ditendang dua lelaki lain dan disaksikan enam individu.

“Isi kandungan video ini didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran,” katanya dalam kenyataan.

Video itu dipercayai rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di laman sosial sejak semalam dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial.

Zainal berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 akta sama.

Katanya, semua lelaki terbabit dikesan untuk dipanggil memberi keterangan dalam siasatan kes itu.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak berkongsi atau menyebarkan video itu di media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil atau menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03 26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/30/polis-siasat-video-tular-2-lelaki-disebat-getah-paip/