Türkiye menjadi negara keempat menukar namanya secara rasmi

Türkiye menjadi negara keempat menukar namanya secara rasmi dalam tempoh empat tahun lalu. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini bersetuju menukar nama Turki kepada Türkiye dalam semua bahasa atas permintaan rasmi negara itu.

Sebelum ini, beberapa negara turut menukar nama seperti Iran (Persia), Thailand (Siam), Zimbabwe (Rhodesia) dan Eswatini (Swaziland).

Pada 2020, Netherlands menggugurkan Holland di bawah langkah sama selain Macedonia menukarkan namanya kepada Macedonia Utara susulan pertikaian politik bersama Greece.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata, surat permohonan negara itu diterima daripada Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu Rabu lalu yang ditujukan kepada Setiausaha Agung Antonio Guterres, supaya memohon penggunaan Türkiye untuk semua urusan.

“Ejaan alternatif itu menggambarkan budaya, tamadun dan nilai negara tersebut,” katanya yang merujuk kepada sebutan ‘Tur-key-yay’ selaras dengan apa yang sering disebut penduduk Ankara.

Sepanjang beberapa tahun yang lalu, negara itu mencuba untuk menukar jenama pada produk-produknya daripada “buatan Turki” kepada “buatan Türkiye”.

Menurut JPost, susulan itu, sebahagian badan antarabangsa akan diminta berbuat perkara sama untuk memastikan pertukaran nama itu sebagai sebahagian daripada kempen penjenamaan semula yang dilancarkan Erdogan pada tahun lalu.

Susulan pengumuman presiden negara itu, media TRT segera membuat perubahan tersebut dan menjelaskan sebab penjenamaan semula imej itu kerana enggan disamakan dengan menu tradisional ‘ayam turki’, yang ada kaitan dengan Hari Natal, Tahun Baharu atau sambutan Thanksgiving.

Negara itu memulakan langkah menukar nama rasminya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bahasa Inggeris kepada Türkiye pada Disember selepas Erdogan mengeluarkan memorandum dan meminta orang ramai menggunakan Türkiye untuk menggambarkan negara itu dalam setiap bahasa.

Baca Juga: Wanita dilamar dengan mas kahwin RM90,467

Baca Juga: Pakai rantai salib, peminat persoal anak Shah Rukh Khan Islam atau Kristian