UMNO akan lantik PM baru ganti Muhyiddin dalam 6-12 bulan sahaja – Asyraf

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencadangkan seorang Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, individu yang dilantik sebagai Perdana Menteri itu hanya berfungsi untuk satu tempoh terhad antara enam bulan hingga setahun bergantung kepada keadaan COVID-19 terutama aspek vaksinasi dan imunisasi.

“Memandangkan keadaan tidak mengizinkan untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU), seorang Perdana Menteri yang bakal dicadangkan kelak untuk menggantikan Muhyiddin hanya berfungsi untuk tempoh terhad.

“Sekiranya sudah mencapai tahap Imunisasi Berkelompok 80-90 peratus, maka rakyat dalam keadaan selamat untuk diadakan PRU,” katanya dalam muatnaik di Facebook, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, UMNO tidak mencalonkan Presidennya sebagai calon Perdana Menteri baharu kerana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu menumpukan kepada membersihkan namanya di mahkamah.

“UMNO tidak ketandusan pemimpin-pemimpin termasuklah Datuk Seri ismail Sabri (Timbalan Perdana Menteri), Datuk Seri Hishamuddin (Menteri Kanan) dan ramai lagi yang punya pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran zaman Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Selagi kerajaan tidak mendapat mandat sebenar rakyat, selagi itulah tahap keyakinan dan kepercayaan pelabur untuk melabur di Malaysia tidak akan tercapai.

“Kita memerlukan pelabur yang masuk untuk tempoh masa panjang yang mampu mencipta pekerjaan dan menjaga ekonomi bukan hanya di pasaran modal yang bersifat jangka pendek.

“Pelabur seperti ini hanya melabur dalam ekonomi yang mempunyai kerajaan kukuh dan stabil,” ujarnya.

Jelas Asyraf lagi, keputusan MKT UMNO malam tadi jelas mengekalkan pendirian Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk tidak sesekali menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri mahupun menyokong kerajaan ditunjangi PH-DAP.

Asyraf turut menjelaskan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin selepas dilihat Pejabat Perdana Menteri secara tergesa-gesa mengumumkan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan tanpa merujuk kepada UMNO terlebih dahulu.

“Beliau tahu Mesyuarat MKT UMNO pada 19 Februari lalu telah menetapkan pendirian tidak menerima sebarang tawaran jawatan timbalan perdana menteri.

“UMNO juga menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) dalam pertemuan antara Biro Politik UMNO dengan Muhyiddin pada Jun 2020.

“Namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara senyap-senyap pada 28 Julai menubuhkan Jawatankuasa Penaja Parti PN dengan menarik penyertaan rakan Muafakat Nasional (PN) iaitu Pas,” katanya.

sumber : https://www.astroawani.com/berita-politik/mkt-umno-cadang-pm-baharu-ganti-muhyiddin-berfungsi-6-hingga-12-bulan-asyraf-wajdi-307345