Umur 19 tahun dah berstatus jutawan, rupanya ketika budak lagi perangai dia lain dari budak sebaya

*Umur 19 tahun dah berstatus jutawan, rupanya ketika budak lagi perangai dia lain dari budak sebaya*

Ketika ramai remaja lain membuang banyak masa dan duit menghadap permainan video atau membuat ‘content’ tak guna di TikTok, Munashraf Munawar sudah berstatus jutawan sejak usianya 19 tahun​.

Menjelang 21 tahun, pemuda ini telah membayar lebih daripada RM500,000 dalam cukai pendapatan.

Menurutnya, ketika rakan-rakan keluar berseronok, dia giat mencari jalan untuk memajukan diri dalam perniagaan.

“Saya belajar cara melakukan pemasaran, jualan dan penutupan. Saya mencari syarikat yang boleh saya jadikan ejen,” katanya.

Malah, sejak kanak-kanak lagi, perangai dan minatnya jauh berbeza dengan budak sebaya yang lazim ralit menonton satu demi satu siri kartun di YouTube.

Munashraf sejak kanak-kanak lagi berminat menonton kisah hidup jutawan dan bilionaire.

“Saya sejak kecil kalau orang lain tengok kartun di YouTube, saya akan tonton kehidupan jutawan dan bilionaire. 

“Saya mahu memahami nak jadi ahli perniagaan macam mana. 

“Mereka bukan hanya dalam satu jenis industri saja. Mereka meneroka setiap bidang tetapi bukan semua industri yang mereka sertai berjaya. 

“Ada yang cuba dalam bidang industri makanan dan minuman (F&B) tapi gagal. Sebaliknya, berjaya dalam sektor hartanah,” katanya dalam wawancara eksklusif NST TV baru-baru ini.

Meskipun sudah mengecap hidup selesa dengan jutaan wang di akaun bank, pemuda berusia 23 tahun ini sedang melanjutkan pengajian di peringkat undang-undang.

Bahkan, beliau sebelum itu memperlahankan perniagaannya pada usia 17 tahun bagi memberi fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada masa ini, syarikatnya mengeluarkan makanan dan makanan tambahan haiwan jenama Biovet yang dianggarkan bernilai RM26 juta dengan menggaji hampir 200 orang.

Semangat keusahawanan Munashrff bermula pada usia 15 tahun lagi dengan menjadi ejen produk.

“Saya ada jual terus, menjaja balang coklat di tepi jalan. 

“Saya juga menjadi ejen ‘kerepek’ dan keju keropok. Apa-apa yang ada untuk dijual, saya jual,” katanya.

Ketika itu, beliau memulakan perniagaan dropship yang menjual kasut yang diimport dari China.

“Saya menggunakan media sosial untuk menjual kasut itu, baik kepada rakan dan orang ramai. Saya untung antara RM10 dan RM15 sepasang kasut,” kata Munashraf lagi. 

Baca: “Tak sangka isteri sanggup hantar mak ayah dia kat rumah orang tua, esoknya aku datang terjah lain pulak jadinya”