[VIDEO] Wartawan ni kena kacau gajah masa buat liputan, apa kesudahannya?

Tugas seorang wartawan sememangnya mencabar, kerana bukan semua tugasan yang diberikan, akan berjalan lancar.

‘Dugaan’ itu pasti ada dan boleh datang dengan pelbagai cara seperti yang dihadapi seorang petugas media di Nairobi.

Baru-baru ini, sebuah klip video tular di media sosial memaparkan seorang pemberita televisyen diganggu seekor gajah ketika membuat siaran langsung.

Dalam kejadian Isnin lalu, akhbar New York Post melaporkan wartawan itu sedang membuat liputan di Sheldrick Wildlife Trust, Nairobi.

Ia adalah pusat pemulihan hidupan liar bukan bermotifkan keuntungan, khusus untuk gajah dan badak sumbu.

Video yang dimuatnaik pusat pemulihan itu di laman Instagram rasminya memaparkan wartawan KBC Television, Alvin Patterson Kaunda berdiri di hadapan kawanan gajah untuk memulakan siaran berita.

Keadaan kelihatan tenang pada awalnya, namun berubah apabila seekor anak gajah meletakkan belalainya pada bahu Kaunda.

“Kerja amal bermula di rumah dan bagi anak-anak gajah yatim piatu ini, Sheldrick Wildlife Trust adalah rumahnya. Inilah tempat di mana ia diajar untuk bertahan hidup, perasaan disayangi dan menangani kesedihan akibat kehilangan induknya,” kata Kaunda ketika memulakan siaran.

Seekor gajah betina bernama Kindani, 4, kemudian memeriksa telinga Kaunda sebelum menyentuh bahagian atas kepalanya. 

Kaunda cuba untuk tidak mengendahkan perbuatan gajah itu, tetapi haiwan itu terus mengusap wajah lelaki brkenaan menggunakan belalainya.

Aksi gajah itu menyebabkan Kaunda ketawa dengan kuat sehingga menutup mulut dengan tangannya.

Video tular itu mendapat lebih 70,000 tanda suka di laman Instagram, malah dibanjiri komen orang ramai yang kagum dengan bakat kewartawanan Kaunda.

Kredit video: Instagram Sheldrick Wildlife Trust

Baca Juga: Penunggang basikal di Tokyo berdepan saman trafik

Baca Juga: Ala-ala tengah ‘fashion show’, lelaki ini peraga kain bendera parti politik buat netizen geli hati