Wanita tertinggi dunia terpaksa berbaring guna 6 tempat duduk dalam pesawat

Umpama mimpi dalam mimpi buat wanita paling tinggi di dunia, Rumeysa Gelgi yang baru-baru ini berpeluang menaiki pesawat komersial.

Lebih manis lagi, ia adalah pengalaman pertama beliau sepanjang hidupanya.

Gelgi, 24, tidak pernah menaiki kapal terbang sebelum ini kerana dia terlalu tinggi untuk duduk di dalam syarikat penerbangan biasa.

Bagaimanapun, dia kini boleh melancong ke luar negara dan terbang ke San Francisco berkat kesediaan syarikat penerbangan Turkish mengubah suai tempat duduk bagi membolehkan Gelgi terbang dengan selesa.

Bagaimanapun, Gelgi yang setinggi 215.16 sentimeter (cm) terpaksa berbaring di dalam pesawat berkenaan.

Sebanyak enam tempat duduk dikeluarkan syarikat penerbangan Turkish Airlines bagi memberi ruang kepada Gelgi dan digantikan dengan tempat yang membolehkannya untuk baring.

Menurut catatan di Instagramnya, dia mengharungi penerbangan selama 13 jam dari Istanbul di Turkiye ke San Francisco, Amerika Syarikat (AS).

Menurut Guinness World Records, dia berdiri pada ketinggian 215.16 cm dan dinamakan sebagai wanita paling tinggi di dunia awal tahun ini.

Malah, Gelgi mempunyai jari terpanjang dan tangan terpanjang dan badannya yang besar itu adalah disebabkan  sindrom Weaver.

Pada kebiasaannya, Gelgi bersiar-siar di atas kerusi roda atau dengan menggunakan alat bantuan pejalan kaki.

Ketika memuat naik kandungan di Instagramnya setelah mendarat di California, Gelgi memaklumkan bahawa ia adalah penerbangan sempurna.

“Penerbangan itu juga adalah yang pertama dengan pesawat tetapi pastinya ia bukan yang terakhir,” katanya.

Pada masa sama, dia merakamkan ucapan terima kasih kepada setiap orang yang telah menjadi sebahagian daripada penerbangannya itu.

Baca Juga: Obses dengan kebersihan, wanita ini bersihkan rumah orang tak dikenali secara percuma

Baca Juga: [Vid] ‘Legend’ dah turun! Netizen kagum tengok skill makcik ni main boling