Benarlah ajal tidak mengenal tempat, masa atau usia. Warga emas berusia 73 tahun ini ditemukan meninggal dunia setelah dipercayai keluar beriadah di kawasan pantai Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Mangsa dikatakan ditemui oleh orang awam kira-kira 6.30 pagi tadi sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Mangsa dikatakan terdampar di Pantai Tanjung Aru 3 berhampiran Stesen Meteorologi Kota Kinabalu oleh orang awam.
“Siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta Proton Gen 2 dipercayai pergi ke kawasan pantai berkenaan untuk beriadah.
“Polis turut menemui kunci, dompet dan telefon bimbit ditinggalkan di dalam kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini.
Katanya, mangsa dipercayai berjalan-jalan di pantai berkenaan sebelum rebah dan meninggal dunia.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut,” katanya.
Baca Juga: Hakim yang telus menggambarkan proses keadilan yang tidak dibayangi rasa gentar pada sesiapa