Zahid bidas Muhyiddin lagi hari ini, tak sanggup jadi “pak sanggup” PM

Umno bukanlah parti “pak sanggup” untuk menadah kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN), pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya kata Ahmad Zahid, Umno adalah sebuah parti yang lahir bagi memperjuangkan nasib rakyat.

Juster itu katanya, keputusan Umno untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin dibuat bukan kerana gilakan kuasa.

“Justeru tidak benar sama sekali apa yang diputuskan Umno semalam kerana dahagakan kuasa.

“Jika dahagakan kuasa bukan begitu sifatnya. Lebih baik bergayut kepada kuasa sedia ada.

“Umno tidak boleh jadi `pak sanggup’ menadah kegagalan kerajaan PN.

“Umno perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara walaupun terpaksa menongkah arus,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam semalam, memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin serta-merta.

Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan Persidangan Agung Umno (PAU) 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.

Oleh itu, Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan perdana menteri baru dilantik untuk tempoh terhad.

Menurut Ahmad Zahid lagi, tindakan diambil Umno kerana mahu keadaan negara segera dipulihkan dan rakyat dapat kembali meneruskan kelangsungan hidup yang terjejas ekoran pandemik ini.

“Bagaimanapun secara halus ‘jenama’ Umno cuba dikambing hitamkan. Umno pula seolah-olah perlu dipertanggungjawabkan disebalik kegagalan kerajaan PN.

“Bantuan diumumkan untuk rakyat walau tidak seberapa itu pun Umno yang terpaksa mendesak. Walau terpaksa menelan pelbagai tohmahan, kritikan dan diperlekeh.

“Maka Umno secara musyawarah mengambil keputusan yang cukup besar semalam. Kerana Umno tahu rakyat sudah tidak tertanggung lagi. Negara perlu dipulihkan segera,” katanya lagi.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/582360